09 Januari 2011

MPKu lantik kontraktor khas setiap empat zon


KULAIJAYA – Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) mengambil langkah proaktif melantik kontraktor khas bagi menjalankan kerja pembersihan mengikut zon dalam usaha mengurangkan masalah kebersihan sekitar daerah ini.

Yang Dipertuanya, Md Rofiki Samsudin berkata, kontraktor pembersihan berkenaan dibahagikan kepada empat zon meliputi kawasan Senai, Saleng, Kulai dan Kelapa Sawit-Bukit Batu.

“Setiap zon terdapat satu kontraktor dilantik yang akan menjalankan kerja pembersihan merangkumi 25 kawasan perumahan bagi setiap zon,” katanya.

Katanya, sebahagian daripada kontraktor pungutan sampah sedia ada menghadapi masalah dari segi logistik dan menimbulkan masalah kebersihan, sehubungan itu kontraktor khas dilantik bagi mengatasi masalah ini.

“Langkah ini diambil sebagai tindakan sokongan buat sementara waktu di kawasan yang dilaporkan, sekiranya kontraktor sedia ada menghadapi masalah menjalankan kerja pungutan sampah,” katanya.

Mohd Rofiki memberi jaminan, kontraktor khas berkenaan akan berada di lokasi yang dimaklumkan orang ramai dalam tempoh kurang dari 45 minit untuk menjalankan tugas pungutan sampah.

“Selepas aduan diterima dari orang awam, kita akan hubungi kontraktor khas berkenaan dan mereka akan segera ke lokasi yang dimaksudkan.

“Kontraktor ini juga bertugas selama 24 jam sehari mengikut aduan yang dikemukakan oleh penduduk,” katanya.

Selain itu katanya, MPKu turut menubuhkan Unit Pemantau bagi memantau kemudahan infrastruktur dan aspek kebersihan sekitar daerah ini yang bertujuan mengurangkan aduan dari orang awam.

“Unit Pemantau ini terdiri daripada 15 kakitangan kami yang akan memantau kawasan masing-masing bagi memastikan kemudahan infrastruktur sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Langkah ini membolehkan MPKu mengambil tindakan segera dan menyelesaikan masalah yang timbul sebelum penduduk setempat mengemukakan aduan kepada kami,” katanya.

Katanya, unit itu yang beroperasi beberapa minggu lalu menunjukkan keberkesanan dan beberapa masalah berkaitan kebersihan dapat ditangani sebelum penduduk setempat mengemukakan aduan.

Tiada ulasan: